Hukum Bagi Seorang Perempuan Yang Mengandung Akibat Zina
From: Fatwa Malaysia on 13 February 2014 - 8:13am
ISU:
Mohon penjelasan hukum bagi seorang perempuan yang mengandung akibat
zina, bolehkah dia bernikah dalam keadaan tersebut dan adakah nikah itu
harus dan sah di sisi Islam?
PENJELASAN:
Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 3, "Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman."
Imam Abu Daud merekodkan hadis: Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawi
pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad saw untuk bernikah dengan
seorang wanita yang dikatakan namanya ''Unaq' dan wanita itu pernah
berzina di Mekah. Lalu Nabi membacakan ayat 3 surah al-Nur, 'Lelaki yang
berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan
yang berzina atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina itu pula
(lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang
berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang
kepada orang-orang yang beriman'.
Lalu baginda berkata, 'Kamu jangan menikahinya.' Ayat al-Quran dan hadis tersebut menunjukkan hukum menikahi penzina adalah dibenci oleh Syarak (makruh).
Menurut pendapat ulama bermazhab Syafii, wanita yang telah berzina dan
dia masih belum mengandung hasil perzinaan tersebut, dibenarkan wanita
itu dikahwini oleh mana-mana lelaki, iaitu hukumnya harus. Manakala jika
dia sudah mengandung hasil daripada perzinaan tersebut, dibenarkan
wanita itu dikahwini oleh mana-mana lelaki, tetapi hukumnya adalah
makruh. Adalah lebih utama menunggu sehingga perempuan itu melahirkan
anak tersebut (al-Nawawi, al-Majmu', jil 15, hlm. 398).
Imam al-Nawawi menjelaskan, hujah yang membenarkan perempuan yang
mengandung hasil zina boleh dikahwini oleh mana-mana lelaki adalah
kerana kehamilan tersebut tidak diiktiraf oleh Syarak kerana ia hasil
zina, maka ia tidak tertakluk kepada hukum 'iddah wanita mengandung yang
diceraikan oleh suaminya; sama ada cerai hidup atau mati (al-Majmu',
jil 16, hlm. 241).
Namun begitu, jika lelaki lain yang bukan berzina dengan perempuan itu
ingin mengahwininya, perlu difikirkan agar tidak bercampur dua benih
dalam rahim perempuan itu. Kerana Nabi Muhammad saw bersabda, "Tidaklah
halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk
menyiram benih kepada tanaman lelaki lain (iaitu jika wanita sedang
mengandungkan benih lelaki lain)" Hadis hasan direkodkan oleh Imam Abu
Daud dan al-Tirmidzi.
Ini bagi memastikan anak yang bakal menjadi penyambung keturunan itu nanti tidak diragui kesahan pertalian nasabnya. Oleh sebab itu, Imam Abu Hanifah berpendapat, perkahwinan tersebut adalah sah, tetapi lelaki itu tidak boleh menyetubuhi isterinya yang sedang mengandungkan anak luar nikah benih lelaki lain, sehingga selepas isteri itu melahirkan anak tersebut (al-Fatawa al-Hindiyah, jil. 1, hlm. 280).
Contoh fatwa di Malaysia berkaitan isu ini adalah Fatwa yang
dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu bertarikh 5
Disember 1995: "Apakah hukum orang yang berkahwin dengan perempuan yang
mengandung, umur kandungannya ialah 6 bulan, apakah sah atau tidak
perkahwinan tersebut dalam Islam. Hasil daripada perkahwinan tersebut
anaknya lahir lebih kurang 3 bulan sahaja selepas mereka berkahwin.
Kepada siapakah anak itu hendak dibinkan. Keputusan: Jawatankuasa Fatwa
yang bersidang pada hari ini membuat keputusan bahawa: 1) Perkahwinan
tersebut adalah sah dari segi syara' sekiranya nikah itu menepati hukum
syara' sekalipun perempuan itu sedang mengandung. Walau bagaimanapun
perkahwinan seperti itu tidak digalakkan. 2) Anak itu dibinkan kepada
ibunya atau kepada Abdullah, bukan ayahnya."
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment