Saturday 12 September 2015

Sahkah Nikah Bagi Seorang Wanita Yang Mengandung Sebelum Nikah

Hukum Bagi Seorang Perempuan Yang Mengandung Akibat Zina

ISU:

Mohon penjelasan hukum bagi seorang perempuan yang mengandung akibat zina, bolehkah dia bernikah dalam keadaan tersebut dan adakah nikah itu harus dan sah di sisi Islam?
 
PENJELASAN:

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 3, "Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman."
 
 
Imam Abu Daud merekodkan hadis: Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawi pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad saw untuk bernikah dengan seorang wanita yang dikatakan namanya ''Unaq' dan wanita itu pernah berzina di Mekah. Lalu Nabi membacakan ayat 3 surah al-Nur, 'Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman'.

Lalu baginda berkata, 'Kamu jangan menikahinya.' Ayat al-Quran dan hadis tersebut menunjukkan hukum menikahi penzina adalah dibenci oleh Syarak (makruh).
 
Menurut pendapat ulama bermazhab Syafii, wanita yang telah berzina dan dia masih belum mengandung hasil perzinaan tersebut, dibenarkan wanita itu dikahwini oleh mana-mana lelaki, iaitu hukumnya harus. Manakala jika dia sudah mengandung hasil daripada perzinaan tersebut, dibenarkan wanita itu dikahwini oleh mana-mana lelaki, tetapi hukumnya adalah makruh. Adalah lebih utama menunggu sehingga perempuan itu melahirkan anak tersebut (al-Nawawi, al-Majmu', jil 15, hlm. 398).
 
Imam al-Nawawi menjelaskan, hujah yang membenarkan perempuan yang mengandung hasil zina boleh dikahwini oleh mana-mana lelaki adalah kerana kehamilan tersebut tidak diiktiraf oleh Syarak kerana ia hasil zina, maka ia tidak tertakluk kepada hukum 'iddah wanita mengandung yang diceraikan oleh suaminya; sama ada cerai hidup atau mati (al-Majmu', jil 16, hlm. 241).
 
Namun begitu, jika lelaki lain yang bukan berzina dengan perempuan itu ingin mengahwininya, perlu difikirkan agar tidak bercampur dua benih dalam rahim perempuan itu. Kerana Nabi Muhammad saw bersabda, "Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain (iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" Hadis hasan direkodkan oleh Imam Abu Daud dan al-Tirmidzi.

Ini bagi memastikan anak yang bakal menjadi penyambung keturunan itu nanti tidak diragui kesahan pertalian nasabnya. Oleh sebab itu, Imam Abu Hanifah berpendapat, perkahwinan tersebut adalah sah, tetapi lelaki itu tidak boleh menyetubuhi isterinya yang sedang mengandungkan anak luar nikah benih lelaki lain, sehingga selepas isteri itu melahirkan anak tersebut (al-Fatawa al-Hindiyah, jil. 1, hlm. 280).
 
Contoh fatwa di Malaysia berkaitan isu ini adalah Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu bertarikh 5 Disember 1995: "Apakah hukum orang yang berkahwin dengan perempuan yang mengandung, umur kandungannya ialah 6 bulan, apakah sah atau tidak perkahwinan tersebut dalam Islam. Hasil daripada perkahwinan tersebut anaknya lahir lebih kurang 3 bulan sahaja selepas mereka berkahwin. Kepada siapakah anak itu hendak dibinkan. Keputusan: Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada hari ini membuat keputusan bahawa: 1) Perkahwinan tersebut adalah sah dari segi syara' sekiranya nikah itu menepati hukum syara' sekalipun perempuan itu sedang mengandung. Walau bagaimanapun perkahwinan seperti itu tidak digalakkan. 2) Anak itu dibinkan kepada ibunya atau kepada Abdullah, bukan ayahnya."
 
Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...