Friday, 22 May 2015

Maqasid Syariah dan Siyasah Syariyyah



Ibn ‘Asyur mentakrifkannya Maqasid Al- Shariah sebagai pengertian dan rahsia yang dapat difahami daripada syariat Islam dalam keseluruhan atau sebahagian besar proses pensyariatan[1] (Mohamad Zaidi, 2014). Manakala Alal al-Fasi mendefinisikan Maqaṣid al-Shariah dengan maksud objektif yang datang dari syariah, dan rahsia-rahsia yang diletakkan oleh Pembuat syariah bagi setiap hukum hakamnya[2] (Mohamad Zaidi, 2014). Raissouni pula merumuskan kedua-dua definisi tersebut sebagai objektif yang ditentukan oleh syariat supaya dicapai bagi kepentingan manusia[3] (Mohamad Zaidi, 2014).
Syariat Islam dibina bagi tujuan menjamin kepentingan manusia untuk dunia dan akhirat. Menurut Ibn Qayyim Syariat keseluruhannya bersifat adil, memberi rahmat kepada semua manusia, membawa masalahah kepada semua serta mempunyai hikmat yang menyeluruh[4]. Izzuddin Ibn Abi Sallam menegaskan bahawa kekuasaan (al-wilāyah), kehakiman (al-Qada’), undang-undang keterangan (al-Shahadat) disyariatkan untuk menarik kebaikan dan menolak keburukan[5].
Tindak tanduk seseorang pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maṣlaḥah[6]. Kaedah-kaedah lain yang menjadi asas pertimbangan membuat polisi atas nama Siyāsah Syariyyah turut menekankan keperluan pengambil kiraan maṣlaḥah. Menurut Bharudin Che Pa et al (2010) perkataan Siyāsah Syar‘iyyah berasal dari dua perkataan bahasa Arab iaitu al-Siyasah dan al-Syar’iyyah. Mengikut Kamus Arab, perkataan Siyasah adalah kata terbitan (masdar) daripada kata dasar sasa – yasusu - siyasatan. Apabila disebut sasa alamr, siyasatan ia bermaksud mentadbir dan mengendalikan sesuatu urusan, pekerjaan dan sebagainya dengan baik. Siyasah juga didefinisikan sebagai arahan dan larangan serta tugas mendidik yang menjadi sebahagian dari usaha mentadbir dan juga bermaksud melakukan sesuatu tindakan yang menguntungkan atau mendatangkan kebaikan dengan cara memimpin, merancang, mengurus, mentadbir, mengendalikan urusan, menjaga keperluan, membantu dan sebagainya. Oleh itu Siyasah adalah satu istilah yang sangat berkaitan dengan urusan kerajaan dan rakyat, iaitu bagaimana pihak kerajaan mengendalikan hal-ehwal kenegaraan yang memberi kebaikan dan keuntungan kepada rakyat dan masyarakat.
Manakala Syar‘iyyah pula adalah perkataan yang diambil dari lafaz syara‘. Ia sebagai menjelaskan atau membuktikan mengenai sesuatu yang disandarkan kepada syara‘dan menerimanya sebagai sesuatu yang sah. Secara literalnya, perkataan syar‘iyyah memberi maksud tentang sesuatu yang sah di sisi syarak dimana dari segi bahasanya ia bermaksud jalan yang lurus dan tempat laluan air. Perkataan syariah bermaksud sesuatu hukum yang dinisbahkan kepada hukum syarak sebagai syariah yang wajib dilaksanakan dalam pentadbiran negara, di mana pemimpin yang tidak melaksanakan hukum-hukum Allah sebagai syariah akan menerima balasan buruk di akhirat kelak.(Bharudin Che Pa et al, 2010).
Fuqaha’ Islam mengungkapkan maksud siyasah al-shar`iyyah sebagai: “keluasan bagi wulat al-amr (pemerintah) untuk melaksanakan sesuatu (urusan pentadbiran) bagi meraih maslahah yang tidak menyalahi usul agama walaupun tiada dalil khusus tentangnya.” Siyasah Islam menggarap matlamat untuk mempertahan masalih al-`ibad, mencapai maqasid al-shari`ah dan masalih al-mursalah (Ahmad Nabil, 2009).
Menurut pandangan ulamak definisi Siyasah Syar‘iyyah secara istilahnya boleh diklasifikasikan kepada dua aspek utama iaitu 1) Siyasah Syar‘iyyah merupakan kaedah pentadbiran dan pemerintahan negara menurut perspektif Islam dan 2) Siyasah Syar‘iyyah sebagai kaedah penentuan hukum di bawah bidang kuasa kerajaan Islam.
Syeikh Abd al-Rahman Taj pula mendefinisikan Siyasah Syariyyah sebagai hukum-hukum atau peraturan yang mengatur perjalanan pentadbiran negara dan rakyat, di mana ianya hendaklah bertepatan dengan syariah, selaras dengan usul-usul kulliyah, seterusnya dapat mencapai objektif kemasyarakatan, walaupun hukum-hukum itu tidak disebut secara langsung oleh nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah[7](Mohamad Zaidi, 2014).
Ibn Aqil menyatakan Siyasah syariyyah ialah suatu tindakan oleh pemimpin yang boleh menyelamatkan orang ramai dan menghindarkan mereka dari kehancuran, walaupun tindakan tersebut tidak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. manakala Ibn Nujaim menyatakab Siyasah Syar‘iyyah ialah satu tindakan sesuatu dari pihak pemerintah berdasarkan kemaslahatan yang dilihatnya sekalipun tidak ada dalil secara langsung dan terperinci ke atas perbuatan itu. Ibn  Abidin pula mendefinasikan Siyasah  seperti mengelokkan keadaan orang ramai dengan membimbing dan memimpin mereka ke jalan yang selamat di dunia dan akhirat. Al-Bujairimi berpendapat Siyasah ialah mengelokkan urusan rakyat dan mentadbir urusan mereka dan Al-Nasafi pula berpendapat Siyasah ialah mengendalikan urusan rakyat kepada kebaikan secara lemah lembut atau kekerasan (Bharudin Che Pa, Siti Arni Basir, 2010)
Abd al-Wahab Khallaf menjelaskan bahawa Siyasah Syariyyah ialah menjalankan pentadbiran awam sebuah negara Islam berdasarkan sesuatu yang menjamin kebaikan dan mengelakkan keburukan dimana ia tidak terkeluar dari batas-batas syariat dan dasar-dasar umumnya walaupun perkara itu tidak menepati pendapat para imam mazhab[8] (Mohamad Zaidi, 2014).
Di dalam pengajian Ilmu Fiqh, para fuqaha’ mentakrifkan al-Syariah sebagai hukum-hakam yang diwahyukan oleh Allah kepada para Nabi untuk dibawakan kepada sekalian hambaNya. Dinamakan hukum-hukum tersebut syariah kerana ia suatu ajaran yang lurus dan disamakan kedudukannya seperti tempat aliran air kerana Syariah Islam menghidupkan jiwa dan akal manusia sebagimana air menghidupkan tubuh badan.
……………………………………………………………………….

Rujukan
Bharudin Che Pa, Siti Arni Basir, S. M. (2010). PERLAKSANAAN SIYĀSAH SYAR‘IYYAH DALAM PENTADBIRAN DI MALAYSIA Oleh: Jurnal Al-Tamaddun, 5, 57–72.



[1] Muhammad al-Ṭāhir Ibn cĀshūr, Al-Syeikh Muhammad Al-Ṭāhir Ibn āshur Wa Kitābuhu Maqāṣid Al-Sharīah Al-Islāmiyyah (t.t: al-Basa'ir, 1998).
[2] Alal al-Fāsi, Maqāṣid Al-Sharīcah Al-Islāmiyyah Wa Makarimuha (Rabat: Matabi' al-Risalah, 1966), h.3.
[3] Ahmad Raissouni, Nazariyat Al-Maqasid Inda Al-Imam Al-Syatibi (Virginia: The International Institute of Islamic Thought, 1995), h.19.
[4] Ibn Qayyim al-Jawziyyah, 'Cilām Al-Muwaqqicīn Can Rab Al-Cālamīn, 4 vols., vol. 3 (Bayrut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah), h.11.
[5] Yusuf Ahmad Muhamad al-Badawiy, Maqasid Al-Syaricah Cinda Ibn Taimiyyah (Jordan: Dar al-Nafais, 2000),
h.551.
[6] Jalaluddin al-Sayuti, Al- Ashbah Wa Al- Naza'ir (Bayrut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1998).
[7] Abd al-Rahmān Tāj, Al-Siyāsah Al-Syar‘Iyyah Wa Al-Fiqh Al-Islāmī (Kaherah: al-Azhār, 1415H).
[8] Abd al- Wahab Khallaf, Al-Siyasah Al-Syar'iyyah Fi Al-Shu'un Al-Dusturiyyah Wa Al-Kharijiyyah Wa Al-Maliyyah (Dar al-Qalam: Kuwait, 1988).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...